CADANG TUBUH PASUKAN MEDIK BERGERAK





KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menubuhkan pasukan Medik Bergerak bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar termasuk Orang Asli.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, perkhidmatan secara percuma itu menggunakan konsep seperti Perpustakaan Bergerak dan pihaknya sedang meneliti kos keseluruhan yang diperlukan.

"Kebiasaannya bila sakit baru kita akan lakukan pemeriksaan, mungkin mereka menghadapi beberapa kesukaran, jadi kami akan sediakan satu pasukan Medik Bergerak ini untuk lakukan pemeriksaan di kawasan luar bandar dan kampung yang susah untuk mendapatkan rawatan.

"Jika kita lihat di Terengganu sekarang setiap hari tidak kurang daripada seorang menghidap penyakit kanser usus dan ia tidak boleh dipandang remeh... pemeriksaan yang diberikan ini secara percuma," katanya kepada pemberita selepas Majlis  Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya idea itu timbul apabila kerajaan negeri tidak lagi menggunakan konsep menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat sebaliknya kini lebih kepada menawarkan perkhidmatan yang memerlukan sesuatu agensi untuk 'turun padang' mendekati orang awam.

Jelasnya Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) akan diberi tanggungjawab untuk menjalankan perkhidmatan itu secara percuma malah ia adalah tanggungjawab korporat (CSR) pihak berkenaan.

Ahmad Razif berkata, kos untuk membeli kenderaan khas itu dianggarkan berjumlah RM400,000.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan mengantar sekumpulan pakar ke  Jerman untuk meneliti pusat fisioterapi di negara berkenaan sebagai contoh, sebelum ia dibina di negeri ini.

Beliau berkata, untuk permulaan pihaknya bercadang menggunakan bangunan sayap lama Hotel Permai sebagai pusat fisioterapi sebelum Pusat Fisioterapi Negeri dibina di Tasik Kenyir pada masa akan datang.

"Kami ingin menubuhkan pusat fisioterapi yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya malah perkhidmatan itu memang mendapat permintaan," katanya. - Bernama

No comments:

Powered by Blogger.