Projek bandar bersepadu




MARANG 22 Mei - Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) melalui anak syarikatnya, Puncak Tema­la Sdn. Bhd. akan membangunkan projek perbandaran bersepadu dengan kos lebih RM200 juta di Wakaf Tapai dekat sini.

Puncak Temala yang melibatkan pelaburan terbesar AZRB da­lam projek perumahan di negeri ini juga merupakan sebahagian daripada usaha mengukuhkan ba­hagian hartanah AZRB sebagai penyumbang utama kumpulan pada masa depan.

Pengurus Besar (divisyen hartanah) AZRB, Zawawi Wahab memberitahu, projek itu dirancang untuk dibangunkan melalui tiga fasa dalam tempoh lima tahun.

Katanya, Puncak Temala yang pertama seumpamanya di daerah ini, dengan mengetengahkan konsep pembangunan lestari da­lam suasana kehidupan moden di lokasi strategik itu bakal melibatkan pembinaan 685 unit kediaman dan komersial di tapak seluas hampir 27 hektar.

“Ini termasuk 160 unit rumah bandar mampu milik, 349 rumah teres dua tingkat, 100 unit rumah berkembar dua tingkat 76 unit kedai/pejabat dua tingkat dan satu lot komersial yang dirancang di hadapan jalan utama,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas Upacara Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Puncak Temala di sini semalam yang disem­purnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Ke­rajaan negeri, A. Latiff Awang.

Pembangunan PPA1M di bawah fasa pertama Puncak Temala melibatkan pembinaan 349 rumah teres dua tingkat berkeluasan 22x70 yang bakal dijual dengan harga serendah RM272,000 melalui pemberian subsidi yang tinggi.

Kakitangan kerajaan yang berminat boleh mendaftar melalui portal www.ppa1M.gpy.my.- utusan online

No comments:

Powered by Blogger.