Telekung Siti Khadijah tiruan dirampas




KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri merampas 100 helai telekung tiruan jenama popular, Telekung Siti Khadijah, petang semalam.

Dalam serbuan jam 2.15 petang di sebuah kediaman di Kampung Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang, di sini, sembilan pegawai KPDNKK negeri merampas telekung berkenaan bernilai RM12,000 yang dibawa masuk dari Vietnam.

Pengarahnya, Azlan Abdul Samat, berkata pihaknya yang menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang Siti Khadijah, Apparel Sdn Bhd sebelum melakukan serbuan berkenaan, turut menahan pengedar barangan terbabit iaitu seorang wanita berketurunan Kemboja berusia 25 tahun.

"Kita dimaklumkan oleh wakil cap dagang Siti Khadijah ini, penjualan telekung tiruan jenama ini semakin berleluasa di seluruh negara, namun KPDNKK Terengganu menjadi yang pertama melakukan tangkapan dan rampasan telekung tiruan ini.

"Peniaga ini dikesan menjual telekung tiruan ini pada harga serendah RM120 sehelai, berbanding telekung tulen yang dijual pada harga RM199 hingga RM250 sehelai.

"Pemeriksaan kita juga mendapati telekung tiruan ini menggunakan material berbeza, selain menggunakan sulaman tampal berbeza daripada telekung tulen yang dijahit kemas dan cantik oleh pengeluarnya," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK negeri di sini, hari ini.


Selain itu, Azlan berkata telekung tiruan berkenaan juga menggunakan label berbeza dengan telekung tulen apabila tertulis perkataan "Made in Malaysia", selain cetakan jenama pada plastik pembungkusan telekung tiruan kabur dan berwarna merah terang berbanding plastik telekung tulen berwarna merah hati.

Beliau berkata, pengedar telekung tiruan yang ditahan itu akan didakwa mengikut Seksyen 8(2)(C) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekal untuk menawarkan barangan perihal dagangan palsu dan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.


Azlan berkata, siasatan mendapati peniaga telekung tiruan berkenaan menghantar sampel telekung tulen Siti Khadijah ke Vietnam, sebelum disiapkan pembekal di negara itu dalam tempoh sebulan dan dihantar menerusi pos ke negara ini.

No comments:

Powered by Blogger.