Awan Pelangi Unicorn dirakam dari LPT2 Kemasik


/



"Subhanallah, saya tidak pernah nampak cahaya seperti ini, ia berwarna-warni tetapi bentuknya bukan seperti pelangi. Kedudukannya pula di atas awan, sangat cantik."

Demikian yang diceritakan seorang pembaca Media 11 merujuk kepada gambar fenomena Awan Pelangi Unicorn yang sempat dirakamnya pada 23 April lalu ketika melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) di Kemasik, kira-kira pukul 5.40 petang untuk pulang ke kampung halaman di Kajang, Selangor.

Mengakui pertama kali menyaksikan kejadian itu, pembaca berkenaan yang sedang memandu berseorangan dengan pantas mengambil telefon pintarnya dan secara keseluruhan telah merakam 11 keping gambar.

Gambar-gambar itu kemudian dikongsi dengan Media 11 berserta catatan pengalamannya.

"Saya memasuki LPT2 melalui exit Kemasik, cuaca pada petang itu agak mendung, matahari dilitupi awan. Tiba-tiba saya terlihat cahaya berwarna-warni atas sekepul awan. Ada warna hijau, kuning, biru dan pink tetapi ton nya tidak begitu terang dan sudah mixed antara satu sama lain.  Sekali tengok macam warna aiskrim paddle pop.

"Saya cuba tengok pada awan lain, tetapi tidak ada, cahaya itu cuma ada pada awam yang satu itu sahaja. Tetapi momen itu tidak lama, bertahan kurang 10 minit, kemudian slowly cahaya itu pudar dan hilang. Walaupun teruja tetapi saya tidak sempat untuk meng-google tentang fenomena itu dengan terperinci sebab nak fokus pada driving," katanya.

Kejadian awan pelik yang disaksikan pembaca itu sempat diceritakan kepada seorang rakan melalui WhatsApp kira-kira pukul 6.53 petang.

Menurut pembaca itu, dia hanya mengetahui mengenai fenomena Awan Pelangi Unicorn itu melalui rakan sekerja ketika mereka berbual-bual di pejabat baru-baru ini, lalu kawannya memaklumkan ada membaca sebuah artikel mengenai kejadian sama yang videonya dirakam seorang gadis di Pagadian City, Philippines pada tarikh sama.

Video dari Filipina itu dimuat naik di laman youtube pada 26 April 2017.


"Bila diberitahu pasal Awam Pelangi Unicorn itu, saya rasa cukup bertuah kerana berpeluang melihat sendiri keajaiban alam ciptaan Allah," katanya.

Pakar percaya cahaya pelangi itu terbentuk akibat perubahan warna (cloud iridescence) ketika titisan air beku kecil pada awan yang terkena cahaya matahari pada sudut betul sekali gus membentuk warna pelangi. Fenomena ini adalah luar biasa dan jarang-jarang berlaku.





No comments:

Powered by Blogger.