Batu Bentuk Jadi Tanda Tanya


/
Misteri tiga bongkah batu menjadi tanda tanya kerana tentunya banyak cerita terlindung di sebalik kewujudannya berhampiran dengan Madrasah Khairul Insan (MKI) di Jenagor, Hulu Terengganu itu.Selepas penemuannya tular di media sosial, bongkah batu itu menjadi perhatian ramai tetapi masih belum dapat jawapan mengenai kewujudannya itu.
  
Bagaimanapun, ramai yang mengaitkan bongkah batu itu dengan sejarah kawasan perdagangan dan penyebaran agama Islam di kawasan sekitarnya suatu masa dahulu.
  
Mengenai penemuan bongkah batu yang mempunyai ciri unik dengan bahagian atasnya lebih runcing, ia dikatakan ditemui penghuni MKI lebih kurang 15 tahun lalu.
  
Tetapi ketika itu bongkah itu hanya kelihatan kira-kira 0.5 meter di permukaan tanah dan pada mulanya dianggap sebagai perkara biasa.
  
Pada peringkat awal penemuannya itu, bongkah batu itu hanya diketahui oleh komuniti di MKI sahaja tetapi pada awal tahun ini ia digali selepas seorang daripada jemaah MKI mendapat ‘alamat’ mengenainya.
  
Jemaah itu `diminta' agar kawasan penemuan bongkah batu unik digali dan mereka kemudiannya bergotong-royong mengalinya sedalam kira-kira dua meter.
  
Pengerusi MKI, Mohd Ariff Yong mengakui bongkah batu itu menjadi misteri kerana belum ada kajian atau penyelidikan mengenainya dijalankan.
  
Bagaimanapun, pihaknya tidak menolak kemungkinan bongkahan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan peninggalan sejarah apatah lagi daerah Hulu Terengganu.
  
"Buat masa ini belum ada kajian atau penyelidikan khusus dijalankan mana-mana pihak, jadi tidak boleh membuat sebarang andaian. Cuma, kita merasakan ia berkemungkinan ada kaitan dengan aspek nilai sejarah seperti penempatan penduduk pada suatu masa dahulu.
  
"Lokasi penemuan bongkahan itu terletak lebih kurang satu kilometer daripada penempatan MKI di seberang sungai. Perjalanan ikut jalan darat melalui belukar ambil masa sekitar setengah jam dan menggunakan bot hanya beberapa minit sahaja.
  
“Biasanya kami menaiki bot menyelusuri sungai untuk ke sana berbanding jalan darat. Komuniti MKI turut adakan pemantauan di kawasan itu bagi pastinya tiada individu atau pihak yang datang dengan tujuan bukan-bukan," katanya.- Media11

No comments:

Powered by Blogger.