T-Team CIPTA HATRIK DI GELANGGANG SENDIRI



PASUKAN T-Team terus mengekalkan rentak cemerlang apabila mencipta hartik kemenangan di hadapan penyokong sendiri dengan menumpaskan Perak, 3-0 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Kedua-dua pasukan mempamerkan rentak permainan yang seimbang apabila masing-masing berbalas serangan ke gawang gol, bagaimanapun kem tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan kem pelawat menerusi jaringan pembukaan Mahamadou Samassa seawal minit kelapan hasil hantaran kemas Mohd Badrul Hisyam Morris.
Begitupun jaringan itu tidak melemahkan kem pelawat apabila bangkit mengatur serangan balas dalam mencari jaringan penyamaan, namun dua peluang keemasan itu dipersia-siakan Mohd Hafiz Kamal (minit 17 ) dan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak (minit 28).

Pelawat yang bekerja keras dalam mencari jaringan sekali lagi gagal membolosi gawang tuan rumah menerusi percubaan luar kotak penalti yang dilakukan Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-39, namun berjaya ditepis keluar Mohd Hafidz Romly.

Pemain tengah Perak, Mohd Hafiz Kamal sekali lagi gagal menyudahkan peluang keemasan buat pasukan pelawat apabila sepakan percumanya sekadar singgah di palang gol pada masa tambahan sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua menyaksikan pasukan T-Team memperkemaskan rentak permainan dan Mahamadou Samassa nyaris mengukuhkan kedudukan kem tuan rumah hasil sepakan penjuru Muhammad Fauzi Abdul Kadar, namun tandukkan dikeluarkan benteng pertahanan pelawat pada minit ke-47.

Lima minit selepas itu, sorakan skuad The Titans kembali bergema apabila Mohd Nor Hakim Hassan berjaya melakukan gerakan solo ke pintu gol pelawat namun rembatannya berjaya di tepis penjaga gawang Perak, sebelum Mohd Badrul Hisyam Morris dan Muhammad Fauzi Abdul Kadar turut gagal memanfaatkan peluang tersebut untuk meledakkan gol.

Tuan rumah yang mempamerkan aksi lebih berdisplin sekali lagi bijak mencipta peluang untuk menambah jaringan menerusi larian deras Farhod Tadjiev pada minit ke-62 namun hantarannya gagal disambut Mohd Nor Hakim Hassan apabila penjaga gawang Perak terlebih dahulu menyekat usaha kedua-dua pemain T-Team itu.

Usaha kem tuan rumah dalam mengukuhkan kedudukan akhirnya tertunai apabila Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris berjaya meledakkan gol kedua T-Team pada minit ke-71 sekaligus menjadikan kedudukan 2-0.


Dua minit selepas itu, T-Team terus melebarkan jaringan menerusi gol ketiga yang disempurnakan dengan kemas Farhod Tadjiev selepas bijak menyambut hantaran silang Mohd Nor Hakim Hassan untuk terus kekal di depan.

Pelawat yang cuba mencari jaringan sagu hati di penghujung perlawanan akhirnya terpaksa akur dengan kekentalan barisan benteng pertahanan T-Team apabila terus ampuh memastikan gawang gol terus tertutup buat Perak sehingga tamat perlawanan. -sinar harian

No comments:

Powered by Blogger.