KETETAPAN KADAR FITRAH UNTUK NEGERI TERENGGANU




KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar fitrah pada tahun ini adalah sebanyak RM7 seorang, kekal sebagaimana kadar tahun lepas.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, kadar itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred super tempatan di pasaran setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus hancur serta 5 peratus hancur.

“Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis super import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau 2.97 cupak bersamaan satu gantang Baghdad.


“Pada tahun ini juga, kita menetapkan bayaran fitrah hanya boleh dibuat dengan wang tunai sahaja,” katanya kepada media di pejabat Maidam, di sini hari ini.


Menurut Shaikh Harun, orang Islam di negeri ini boleh membayar fitrah di mana-mana kaunter zakat Maidam dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja biasa.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di negeri ini, kaunter zakat Maidam termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka tujuh hari seminggu dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang bermula 11 Jun hingga 24 Jun nanti.

Selain itu katanya, Maidam turut melantik seramai 1,038 orang amil pada tahun ini yang akan membuat pungutan fitrah dan zakat harta di setiap masjid serta surau di seluruh Terengganu.

No comments:

Powered by Blogger.