( VIDEO) TERENGGANU ANJUR LIGA SEPAK TAKRAW REMAJA SEKOLAH 2017


Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) dan Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) akan menganjurkan Liga Sepak Takraw Remaja Sekolah Terengganu (LSRST) 2017 pada bulan ini bertempat di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu di Gong Badak dan gelanggang MSNT .
Presiden PSTNT Shapian Ali berkata, kejohanan ini merupakan program pembangunan sepak takraw negeri Terengganu yang bertujuan mencungkil bakat muda pada masa depan.
Menurutnya, Liga Remaja Sekolah 2017 akan disertai sebanyak 19 pasukan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Bawah 11 tahun (antara regu) dan Bawah 16 tahun (antara pasukan).
Hadiah pertandingan bagi juara Liga Bawah 11 Tahun adalah RM300 dan naib juara RM200 manakala berpasukan Bawah 16 tahun RM600 dan naib juara RM500. Sementara ganjaran bagi johan Grand Final pula untuk Bawah 11 Tahun iaiah RM200 dan RM400 bagi johan kategori berpasukan Bawah 16 tahun.
‘Bagi kategori Bawah 11 tahun ia akan disertai sebanyak 8 pasukan dari daerah seluruh Terengganu manakala 11 pasukan termasuk Projek sepak Takraw Terengganu (PASTA), Sekolah Sukan Bukit Nenas dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu akan beraksi dalam kategori Bawah 16 tahun’.
‘Kejohanan berlangsung sebanyak 3 sirkit iaitu 12 hingga 13 Mei, 18 hingga 19 Mei, 13 hingga 14 Julai dan grand final pada 14 Julai’ katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Liga Sepak Takraw Remaja Sekolah 2017 di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu Gong Badak pagi tadi.
Dalam majlis itu juga meraikan Gajah Emas dan Kobert selaku penaja kelengkapan dan pakaian kejohanan.
Beliau berharap kejohanan yang julung kali diadakan di Malaysia mampu mencungkil bakat pemain sepak takraw di peringkat remaja dan pelajar sekolah yang mampu mewakili negeri Terengganu serta negara.


No comments:

Powered by Blogger.