Menantu Zalim Bakar Rumah Mertua







KEMAMAN – Seorang penganggur bertindak di luar dugaan apabila membakar rumah ibu mertua yang ditumpanginya selepas bertengkar dengan isterinya dalam kejadian di Kampung Felda Neram dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi, lelaki berusia 32 tahun itu turut bertindak kejam apabila memukul ibu mertuanya, Wan Embak Wan Ngah, 56. Seorang jiran lelaki yang cuba melindungi isteri penganggur itu turut dibelasah oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sebelum kejadian, suspek telah bertengkar dengan isterinya yang berusia 32 tahun kerana wanita itu menegur sikap suaminya yang didakwa mengabaikan tanggungjawab.

“Pergaduhan pasangan itu bermula dengan si isteri mempertikaikan sikap suami yang tidak memberi nafkah kepada dia (isteri) dan empat anak mereka sehingga keluarga tersebut terpaksa menumpang di rumah ibu wanita berkenaan.

“Teguran itu menyebabkan suspek naik angin. Ibu mertua suspek yang bimbang keselamatan anak perempuan dan cucu-cucunya telah membawa mereka lari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan ibu mertuanya telah mengejar semua mangsa sebelum bertindak agresif dengan menumbuk dagu ibu mertuanya.

Turut dipukul jiran yang cuba membantu isteri dan anak-anaknya.

Katanya, suspek yang masih marah berpatah pulang ke rumah ibu mertuanya sebelum membakarnya.

"Suspek kemudian memaksa empat anaknya yang berusia setahun hingga 10 tahun lari bersamanya," kata beliau.

Berikutan tindakan suspek, Mohd Said memberitahu, rumah terbabit musnah sepenuhnya akibat kebakaran.

"polis sedang mengesan suspek dan empat anak suspek yang dipercayai masih bersembunyi didaerah ini," katanya.

Katanya suspek ttidak mempunyai rekod jenayah lampau. - Kosmo!

1 comment:

Powered by Blogger.