Agih juadah berbuka puasa, sahur di setiap hospital




KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan agihkan juadah berbuka puasa dan sahur, di samping melaksanakan solat tarawih di hospital negeri ini sepanjang Ramadan nanti.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, program yang pertama kali diadakan di semua enam hospital di negeri ini, adalah bagi mengimarahkan Ramadan.

Bagi tujuan itu katanya, pihak Maidam akan melancarkan tabung kutipan dan akan diletakkan di beberapa kawasan strategik selain di hospital, bagi membolehkan orang ramai bersama-sama menderma dan menyumbang bagi menjayakannya.

“Sekarang ini boleh dikatakan semua masjid buat majlis berbuka puasa, jadi kita nak pergi ke hospital pula. Pengorbanan anak atau yang jaga pesakit itu besar kerana kosnya tinggi kerana terpaksa berulang alik, makan dan sebagainya, sebab itu kita nak bantu.

“Di samping itu, kakitangan di bahagian kecemasan misalnya, yang sentiasa sibuk dan mungkin sukar untuk mereka keluar membeli juadah berbuka puasa dan kakitangan yang kurang berkemampuan seperti pengawal keselamatan, ini adalah peluang terbaik untuk kita beramal,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menjangkakan 500 bungkus juadah berbuka dengan kos RM10 sebungkus dan 450 bungkus juadah sahur dengan kos RM8 sebungkus diperlukan setiap hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Bagi hospital di daerah, jumlah dan kos akan ditentukan pegawai agama daerah dan pihak hospital. -Sinar Online

No comments:

Powered by Blogger.