(VIDEO) MELUNCUR DI BUKIT BUBUS


/



Indah sungguh pemandangannya pak! Begitulah perkataan yang terbit dari mulut Ferry Maskun, peluncur udara dari Indonesia selepas berkesempatan untuk `terbang' dari Bukit Bubus di Tapak Paragliding Kota Putera, Besut.

  Peluncur berusia 50 tahun itu yang juga jurulatih berlesen sukan luncur udara di negaranya mengakui lokasi luncur udara di tepi pantai itu adalah antara yang terbaik pernah dicubanya.


  Ferry bercerita lagi, dia dapat menikmati pemandangan laut membiru sejurus berlepas dari laluan pelepasan dan keadaan itu dapat menenangkan jiwanya ketika melayang di udara.

  Selain lautan yang terbentang, dia juga dapat menikmati kehijauan pokok di daratan sekali gus menjadikan Bukit Bubus sebagai destinasi terbaik untuk sukan luncur udara.

  Ferry yang juga terbabit dalam sukan ekstrem lain termasuk hang gliding, paramotor dan sky diving berkata, untuk menjadikan tapak sukan luncur udara itu mampu menjadi tumpuan kepada penggemarnya beberapa kemudahan perlu diperlengkapkan sekali gus memberi fasiliti terbaik untuk peluncur.

  Selain kemudahan asas, laluan pelepasan yang lebih baik perlu diwujudkan supaya tahap keselamatan peluncur lebih terjamin.

 Ferry ke Bukit Bubus untuk bersama-sama 90 peluncur udara dari beberapa negara termasuk sekitar Asia dan Eropah menyertai Terengganu International Paragliding Competition 2017 (TIPCO) selama lima hari bermula 12 Mei lalu.

  TIPCO 2017 itu turut disertai pemenang anugerah National Geographic 2012, Sano Babu Sunuwar dari Nepal yang berjaya terbang luncur udara dari tiga puncak tinggi dunia iaitu Gunung Everest, Gunung Elbrus dan Kilimanjaro.

  Penganjuran TIPCO itu juga bersempena dengan Visit Beautiful Terengganu 2017 dan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Kelab Paramotor Terengganu dan Biro Paragliding Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).



No comments:

Powered by Blogger.