Ia harus mengajak semua agar melihat dan mengamati sejarah yang sering diperdebatkan dari pelbagai perspektif atau sudut pandangan, dengan melangkaui pengalaman peribadi atau pemikiran yang sempit.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin Kasim berkata, muzium memiliki himpunan koleksi artifak bersejarah yang boleh mendorong masyarakat untuk menghayati dan mengamati setiap yang tersurat dan juga yang tersirat.
"Penghayatan dan pengamatan dari pelbagai perspektif mampu mengubah persepsi dan membuka minda kita untuk lebih bijaksana dalam mendepani isu yang dianggap kontrovesi atau sensitif serta berisiko mencetus ketegangan atau ketidakharmonian dalam masyarakat,"ujarnya.

Beliau membangkitkan soal itu ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Muzium Negeri di sini hari ini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee; Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Pelancongan dan kebudayaan, Alan Abdul Rahim dan pengarah Lembaga Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah.
Kamarul Baharin menarik perhatian  soal itu sempena tema sambutan kali ini, 'Muzium dan Pertikaian Sejarah, Mengungkapkan Yang Tersirat' yang dipilih oleh Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM).
Objektifnya ialah untuk mencari satu titik temu dan hala tuju ke arah mempromosi persefahaman, menjauhi prasangka serta menggariskan matlamat dan visi yang satu demi membina kesejahteraan masa depan bersama.
Menurut beliau, menerusi tema yang diperkenalkan, muzium di seluruh negara perlu mempergiatkan lagi program dan aktiviti yang menjurus kepada pengisian nilai dan pembangunan sosio budaya yang dapat mempertingkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.-utusan online