Perabot Perahu Lama Razali

Mohamad Razali Abdul Ghani, 50, dengan perabot-perabot rekaannya daripada perahu lama yang usianya mencecah 50 tahundi karnival Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terengganu 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC)
/
KUALA TERENGGANU 20 Mei - Sedih melihat nasib perahu-perahu lama yang sudah uzur dibiarkan reput begitu sahaja menjadi titik mula bagi seorang usahawan dari Dungun untuk menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan perabot daripada pengangkutan air itu.

Walaupun tidak mempunyai sebarang kepakaran dan pengalaman, namun Mohamad Razali Abdul Ghani, 50, memberanikan diri untuk merintis usaha itu sejak Julai tahun lalu selepas hampir dua bulan membuat penyelidikan dan rujukan.

Katanya, dia terpanggil untuk memberi 'nyawa' terhadap perahu lama itu berikutan mahu mengimbau nostalgia zaman kecil ketika membesar di perkampungan nelayan di Kampung Seberang Pintasan di samping untuk menghargai keunikan kayu cengal yang digunakan bagi membuat perahu.

"Semasa kecil setiap hari saya tengok perahu keluar masuk di jeti jadi, apabila ada yang dibuang atas faktor uzur secara tidak langsung membuatkan saya rasa sedih, sebab itu saya terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi menghidupkan fungsinya.

"Sayang kalau dibiarkan mereput kerana kayu cengal bernilai tinggi oleh itu, saya cuba berfikir di luar kotak dan mendapat ilham untuk menghasilkan perabot daripada perahu-perahu uzur yang usianya mencecah 50 tahun yang dibeli di Besut," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui dalam karnival Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Terengganu 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Mohamad Razali yang berkelulusan Diploma Landskap dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada salah seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Bermula dengan modal simpanan RM35,000, katanya, sehingga kini sudah 15 perahu dibeli bagi menghasilkan barangan seperti set ruang tamu, set meja makan, buaian, hiasan dinding dan bingkai yang dijual pada harga antara RM5,000 ke RM12,000.

Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan berikutan kelainan perabot perahu yang ditawarkan itu tidak terdapat di mana-mana pasaran di negara ini, di samping keistimewaan nilai estetika kayu cengal yang mempunyai peminat tersendiri.

Mohamad Razali memberitahu, setiap perahu yang dibeli mempunyai tahap keuzuran berbeza-beza dan proses untuk membuka kepingan-kepingan kayu memakan masa hampir sebulan termasuk perlu dijemur selama seminggu sekiranya sudah terlalu lama 
ditinggalkan di air.

"Kerja-kerja melukis dan bertukang saya lakukan sendiri dengan bantuan abang, sekiranya perlu kami akan upah pekerja sambilan, 

istimewanya, setiap perabot dihasilkan mengikut cara tradisional iaitu tanpa paku, sebaliknya hanya menggunakan pasak.

"Ini merupakan kali pertama saya mempromosikan produk ini kepada orang ramai, harapan saya agar perabot daripada perahu ini dapat berkembang sekali gus menjadi antara ikon pelancongan negeri," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian 013-9219717.

Sumber : Mingguan Malaysia


/

No comments:

Powered by Blogger.