PROJEK TANAMAN JAGUNG BIJIRIN BAKAL BAWA PELABURAN RM27 JUTA DAN 20 000 PELUANG PEKERJAAN




SETIU: Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan satu lagi projek di bawah Program Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu iaitu EPP 2.2 (Bioteknologi): Projek Tanaman Jagung Bijirin. Ianya satu lagi daripada ratusan cerita kejayaan atau success story Terengganu.


Projek ini adalah selaras dengan agenda negara iaitu mengurangkan kebergantungan kepada import jagung bijirin bagi makanan ternakan. Pada tahun 2015, Kerajaan telah mengimport RM3.1 bilion jagung bijirin bagi memenuhi permintaan tempatan.

Pihak syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) akan melabur RM27 juta dalam industri penanaman jagung bijirin ini dan mensasarkan pengurangan import bekalan jagung bijirin dari luar negara sebanyak RM3.5 bilion dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang.

Dengan pelancaran industri penanaman jagung bijirin pada hari ini, Terengganu bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengusahakan industri penanaman jagung bijirin secara komersil berskala besar dan negeri pengeluar makanan ternakan terbesar di Malaysia dalam memenuhi keperluan jagung bijirin negara.

Projek ini dijangka dapat memberi manfaat dan peluang pekerjaan kepada 20,000 orang penduduk tempatan secara langsung dan tidak langsung.

Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan lebih 300 hektar tanah di Daerah Setiu, Marang dan Kemaman kepada GWG bagi mengusahakan tanaman ini.

Pihak GWG mensasarkan penanaman jagung bijirin sehingga 500 hektar pada tahun ini. Ia membolehkan pembinaan kilang pengeringan dan kilang memproses jagung bijirin dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan makanan ternakan pada tahun 2018.

Pengusaha atau petani yang terlibat dalam projek penanaman jagung bijirin ini dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan sekiranya petani mengusahakan tanaman ini dengan keluasan 4 hektar.

Tanaman ini mudah diusahakan kerana ianya tahan lasak dan tidak mudah mendapat penyakit. Tempoh tuaian adalah 90 hingga 100 hari dan boleh diusahakan sebanyak 3 hingga 4 pusingan setahun.

Pada tahun hadapan 2018, pihak GWG bercadang untuk memperluaskan kawasan penanaman jagung bijirin kepada 2,000 hektar yang terdiri daripada tanah-tanah kerajaan yang bersesuaian, tanah-tanah yang diwartakan untuk tujuan pertanian dan tanah-tanah milik penduduk tempatan yang tidak diusahakan.

No comments:

Powered by Blogger.