1,276 pelajar dikesan merokok

KUALA TERENGGANU 16 Mei - Jabatan Kesihatan mengesan seramai 1,276 pelajar peringkat menengah dan rendah di negeri ini terjebak dengan gejala merokok.

Penemuan itu diperoleh hasil saringan dalam Program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) yang dirintis Jabatan Kesihatan Negeri di sekolah rendah dan menengah di Terengganu tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 150 orang merupakan murid sekolah rendah termasuk tiga daripadanya adalah murid tahun satu dan dua.

"Pihak jabatan melakukan saringan meliputi 106,162 murid sekolah rendah dan pelajar menengah. Sejumlah 1,276 dikenal pasti sebagai perokok.

"Bagaimanapun, seramai 274 daripada mereka telah menghentikan tabiat buruk itu selepas diberi intervensi melalui kaunseling,"ujarnya.


Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat negeri di pasar raya besar Giant Gong Badak di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr. Dayang Meriam Abang Abdul Rahman.
Menurut beliau, tabiat merokok turut menyumbang kepada masalah pergigian kerana mereka berisiko mendapat penyakit gusi, kanser mulut dan lidah di samping paru-paru, serangan jantung dan angin ahmar.
"Oleh itu, saya mengajak semua pihak agar bersama-sama menasihati serta menunjukkan contoh yang baik keoada generasi muda ini agar tabiat merokok dapat dibendung dari peringkat awal usia,"ujarnya. - utusan online



No comments:

Powered by Blogger.